ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai parti yang mempunyai banyak pengalaman jatuh bangun politik, situasi itu adalah biasa buat Pas dan tidak sesekali menggoyahkan mereka untuk terus memperjuangkan Islam.

“Kita tidak menyesal. Kita pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, pernah kalah dan menang. Rebah bangun dalam politik itu biasa.

“Kawan jadi musuh, musuh jadi kawan. Sebab itu kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Terengganu yang baharu, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Istana Syarqiyyah, di sini semalam.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan itu turut melibatkan 10 anggota Exco kerajaan negeri Terengganu.

Mereka ialah Satiful Bahari Mamat, Dr. Alias Razak, Mohd. Nor Hamzah, Dr. Azman Ibrahim, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Ariffin Deraman, Hanafiah Mat, Wan Sukairi Wan Abdullah, Dr. Mamad Puteh dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Abdul Hadi turut menyentuh kesediaan Pas membuka pintu rundingan dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan untuk memberi kebaikan kepada Islam dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, parti-parti terbabit perlulah mengikut dasar Islam Pas di samping keputusan Majlis Syura Ulama.

Dalam perkembangan lain, beliau mendoakan supaya kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengulangi kesilapan semasa masih ber­khidmat sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Kerajaan Pusat mesti menghormati kerajaan negeri. Dalam Perlembagaan, perjanjian sudah ada. Selama ini mereka tidak menghormati (hak negeri), kita harap tidak berulang dan tiada lagi campur tangan dalam urusan kerajaan negeri,” katanya.