Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerjasama pihaknya dengan UMNO tidak akan terjejas selagi parti itu menghormati pendirian dan menyokong perjuangan Pas.

“Seperti Timbalan Presiden sebut, ini (kerjasama) parti dengan parti, bukan kita dengan Ahmad Zahid, atau dengan Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan).

“Mana-mana parti yang menghormati pendirian kita, menyokong perjuangan kita, tidak ada masalah (untuk kerjasama), tak kira siapa pun yang jadi presiden dia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang menyerahkan tugas-tugasnya sebagai Presiden UMNO kepada Timbalan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak 18 Disember lalu, kini kembali mengambil alih tugas tersebut sejak 30 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Pas mahu memerhatikan terlebih dahulu perkembangan terbaharu dalam UMNO, terutama pendirian Ahmad Zahid mengenai isu-isu melibatkan kedua-dua parti.

“Kita tengok apa pendirian Presiden dia

dengan isu penting sama-sama kita, adakah sama? Kalau sudah tidak sama, kita nak kerjasama macam mana?” katanya.

Mengenai cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, Mohd. Amar berkata, perkara itu tidak boleh dianggap hanya menguntungkan parti tertentu sebaliknya memberi kelebihan kepada semua parti.

“Dalam Pas sebenarnya, apabila individu itu sudah akil baligh, dia dah boleh jadi ahli Pas. Jadi semua pihak ada kelebihan.

“Sebenarnya zaman ini, sesiapa yang menguasai teknologi maklumat, dia ada kelebihan kerana pengundi sekarang, terutama generasi muda, dia mengundi berdasarkan maklumat,” katanya. - UTUSAN ONLINE