Malah Hashim juga melihat kenyataan Dr. Mahathir kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebagai cubaan memecahbelahkan perpaduan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Katanya, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkemungkinan bagi menutup kelemahan di dalam PH sendiri khususnya ketika mereka begitu terdesak untuk memenangi PRK kali ini selepas ditolak di Cameron Highland.

“Ya, saya ada dengar Dr. Mahathir kata Pas tidak akan sokong UMNO, jadi kita tunggu dan dengar apa penjelasan daripada Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri mengenai perbincangan dalam pertemuan baru-baru ini.

“Kita pun tidak tahu apa tujuan Dr. Mahathir keluar kenyataan begitu (Pas tidak akan sokong UMNO) kerana seperti sedia maklum Perdana Menteri itu sememangnya licik bermain politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Dr. Mahathir mengenai pengakuan Abdul Hadi yang Pas tidak akan menyokong calon UMNO pada PRK DUN Semenyih.

Tambah Hashim, beliau percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan Dr. Mahathir itu terutama apabila melihat beberapa pemimpin kanan Pas hadir ke pusat penamaan calon semalam bagi menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Jadi saya tidak nampak pula pemimpin Pas hadir ke pusat penamaan calon untuk menyokong PH. Kita juga penuh yakin kepemimpinan Abdul Hadi tidak akan melakukan sesuatu yang merugikan Islam,” katanya.

Sementara itu, Hashim tidak menolak kemungkinan turun membantu kempen BN di Semenyih. - UTUSAN ONLINE