Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seterusnya yakin Pas akan menang besar dalam PRU-14 berdasarkan kesediaan dan kekuatan jentera Pas di seluruh negara sebagaimana yang disumbangkan ketika bersama pakatan pembangkang pada PRU-13.

Malah jelas beliau, Pas juga mempunyai kelebihan kerana akan bertanding di semua 196 kawasan yang terdapat cawangan parti itu di seluruh negara.

Beliau mengakui keyakinan itu memandangkan semasa PRU-13, Pas banyak menyumbang kepada kemenangan parti sekutu dalam pakatan tersebut termasuk PKR.

“Kita bertanding di tempat yang kita ada cawangan. Kita ada 196 kawasan di seluruh negara dan kita bertanding di 160 kerusi.

“Parti lain tak ada cawangan termasuklah PKR. Mereka dulu menggunakan jentera kita dan menang pun dengan tenaga kita. Sebab itulah kita tak risau,” kata­nya selepas majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu untuk PRU-14 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini malam tadi.

Abdul Hadi seterusnya berkata, langkah parti itu meletakkan calon bukan Islam untuk bertan­ding pada PRU-14 di beberapa ne­geri adalah berdasarkan keperluan di kawasan berkenaan.

Beliau bagaimanapun menje­las­kan, calon bukan Islam tidak diperlukan di Terengganu memandangkan kesediaan jentera parti hingga peringkat akar umbi negeri itu sudah kuat bagi mencapai kemenangan dalam PRU-14.

Pada majlis pengisytiharan ca­lon Pas Terengganu untuk pilihan raya kali ini malam tadi, parti itu tidak meletakkan calon daripada Gagasan Sejahtera untuk PRU-14, berbanding negeri lain.

“Ya, ada (calon) bukan Islam bertanding (atas tiket Pas) antaranya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan dan itu berdasarkan keperluan kawasan itu. Di Terengganu, kita tak letak calon bukan Islam,” ujarnya.

Gagasan Sejahtera menggandingkan Pas, Ikatan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), dan Parti Cinta Malaysia (PCM), pertubuhan bukan kerajaan dan individu perseorangan.