Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran Pas memberi makna besar dalam konteks gabungan pembangkang yang tidak boleh bergerak secara berasingan dalam usaha menumpaskan Pakatan Harapan (PH)

"Secara verbal sudah disahkan, sebabnya mereka yang lebih awal menjemput kita (ke muktamar Pas) dan kita hadir dan mereka (Pas) sudah mengesahkan mereka hadir.

"Pas akan hadir di persidangan sayap dan Perhimpunan Agung UMNO," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Annuar berkata, dalam perhimpunan kali ini seramai 5,730 perwakilan dijangka hadir termasuk dalam kalangan anggota sayap pergerakan pemuda, puteri dan wanita.

Katanya, berbanding tahun sebelumnya, tahun ini Perhimpunan Agung UMNO akan dimulakan dengan ucapan dasar presiden dan ucapan berkenaan akan dibahas serta dikupas pembahas.

"Dalam perhimpunan ini kita akan banyak berbincang tentang soal parti, hala tuju parti dan mendengar suara hati ahli akar umbi.

"Kita juga beri kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua jurucakap tanpa sebarang garis panduan yang terlalu banyak. Terutama dari segi isi dan kita tidak akan beri arahan-arahan yang spesifik," katanya. - UTUSAN ONLINE