Calon BN, Ramli Mohd. Nor memperoleh 12,038 undi manakala calon Pakatan Harapan, M. Manogaran pula menerima 8,800 undi.

Calon Bebas iaitu Wong See Yee dan Sallehudinn Ab. Talib masing-masing mendapat 276 dan 314 undi.

Kemenangan pertama BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sejak ber­akhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu itu disokong ba­nyak faktor yang dapat dilihat de­ngan jelas sepanjang dua minggu berkempen.

Kerjasama erat di antara UMNO dan Pas nampaknya ‘membuahkan hasil’ lumayan khususnya menarik undi orang Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Angka tidak rasmi un­dian menunjukkan calon BN mendapat majoriti sebanyak 5,734 undi di 12 pusat pe­ngundian di DUN Jelai.

Pas menunjukkan komitmen yang tinggi membantu kempen BN apabila kepe­mimpinan utama parti itu termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sanggup turun padang berkempen.

Dibantu pula dengan komitmen ditonjolkan oleh komponen BN yang lain iaitu MIC serta MCA. Kedua-dua parti ini berusaha keras membantu berkempen untuk BN sehingga memboleh­kan parti itu mencatatkan kemenangan.

Selain itu, faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak boleh diketepikan kerana beliau yang semakin popular dan sohor kini dalam media sosial kena pada masanya ketika BN menghadapi PRK Parlimen Cameron Highlands.

Slogan ‘Bossku’ kedengaran di tempat-tempat Najib berkempen, malah kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari terakhir berkempen, gagal memadamkan populariti Najib dalam kalangan pengundi di Cameron Highlands.

Faktor calon juga memainkan peranan. Percaturan BN meletakkan Ramli, iaitu Orang Asli menyebabkan PH ‘terduduk’ sejak awal lagi apabila undi masyarakat Orang Asli majoritinya diberikan kepada beliau.

Selain itu, kemenangan bergaya BN ini juga dilihat ba­nyak pihak sebagai manifestasi kekecewaan rakyat kepada kerajaan PH yang didakwa gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto mereka.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan kemenangan BN di Cameron Highlands dengan majoriti jauh lebih besar iaitu 3,238 undi berbanding 597 undi dicatat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu sebagai petunjuk kepada kebangkitan BN.

Pada masa sama, PRK ini juga boleh diistilahkan sebagai isyarat daripada rakyat kepada kerajaan PH supaya mengotakan janji-janji yang telah dibuat, atau menerima penolakan daripada pengundi.