Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pandangan Pas dalam isu tidak boleh dianggap sebagai sembah derhaka terhadap Seri Paduka.

Beliau percaya, Seri Paduka telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Persoalannya, adakah Anwar menerima pengampunan bebas di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan?" katanya dalam sidang akhbar di Markas Induk Pas bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad; Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun dan calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.

Pada 3 Oktober lalu, Takiyuddin mendakwa, Anwar yang juga Presiden PKR tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Justeru, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa pengundi di kawasan Parlimen ini mungkin terpaksa berdepan PRK yang kedua sekiranya mahkamah memutuskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan bertanding sebagai Ahli Parlimen.

Selasa lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan pihak yang mempertikaikan kelayakan Anwar seolah-olah tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan mengurniakan pengampunan penuh kepada calon Pakatan Harapan (PH) itu. - UTUSAN ONLINE