Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihak istana merupakan antara satu institusi pentadbiran kerajaan negeri dan sudah semestinya ia merupakan saluran terbaik untuk pihaknya berbuat demikian.

"Tidak boleh salahkan kita (Pas) kerana kita menggunakan saluran betul untuk berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar selepas syarahan perdana Hala Tuju dan Pendekatan Sejahtera dan pelancaran manisfesto Gagasan Sejahtera, di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Pas telah mengemukakan surat rasmi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyekat peruntukan tahunan kepada wakil rakyat parti itu di negeri ini.

Penyerahan surat itu dilakukan sendiri Pesuruhjaya Pas Negeri, Sallehen Mukhyi kepada wakil baginda.

Surat tersebut adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai situasi sebenar selepas Mohamed Azmin menyekat peruntukan tahunan 13 wakil rakyat Pas sejak dua bulan lalu.