Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, berdasarkan maklumat tidak rasmi yang diperoleh, beliau yakin parti itu masih kekal memerintah.

"Kita akan umum keputusan rasmi pada esok pagi kerana belum menerima keputusan rasmi berkenaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Oleh itu, saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk jentera parti, anak perantau dan seluruh rakyat negeri ini kerana telah memberikan undi kepada Pas untuk kekal memerintah negeri ini. Malah, pihak media juga bertungkus-lumus memberikan liputan terbaik sepanjang PRU-14," jelasnya.

Beliau yang juga penyandang Menteri Besar Kelantan berkata demikian di hadapan ribuan penyokong Pas di Dataran Ilmu, di sini hari ini.

Bagi kerusi Parlimen, Pas dikatakan memenangi sembilan daripada 14 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala, Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 11 daripada 45 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRU-14 di negeri ini.

Sementara itu, gabungan pembangkang PKR tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini.

Peratusan keluar mengundi di negeri ini adalah sebanyak 74.13 peratus selepas semua Pusat Mengundi ditutup pada pukul 5 petang petang semalam. - UTUSAN ONLINE