Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, kerusi bagi Parlimen Langkawi bakal diserahkan kepada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang turut membentuk Gagasan Sejahtera bersama Pas.

“Langkah itu diambil bersandarkan kepada keputusan yang dibuat pimpinan Pas pusat.

“Bila calon Ikatan itu akan diumumkan, saya tak pasti. Tetapi jentera Pas di Langkawi bersedia untuk digerakkan bagi berkempen di sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan senarai calon Pas di negeri ini di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, dekat sini, hari ini.

Pada majlis sama, para bakal calon itu turut melafazkan baiah serta sumpah di hadapan para hadirin untuk tidak melompat parti serta akan meletak jawatan sekiranya dipecat daripada Pas.

Sementara itu beliau yang bakal bertanding di DUN Pengkalan Kundor berkata, seramai 70 peratus daripada calon yang diketengahkan Pas di negeri ini, kali ini merupakan muka-muka baharu dan bebas daripada golongan ‘harum manis’. - UTUSAN ONLINE