Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, beliau bimbang pembohongan Pas itu akan menghakis kepercayaan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam.

Menurutnya, rasa hilang kepercayaan itu boleh timbul selepas mereka melihat apa yang telah dilakukan oleh Pas sebelum ini.

"Apa yang dikatakan oleh pucuk pimpinan Pas sudah tidak boleh dipercayai kerana bagi mereka berbohong itu wajib.

"Sudah terbukti Pas sebuah parti pembohong kerana mereka sendiri sudah mengaku berhubung isu rakaman audio," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan pucuk pimpinan Amanah Kawasan Pasir Mas.

Terdahulu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan beras dan hamper kepada penerima bantuan yang hadir pada majlis tersebut.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, beliau turut kesal dengan sikap Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaitkan bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pembohongan berkaitan rakaman audio itu.

"Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengatakan menerusi pertemuan Pas tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN).

"Namun pemimpin mereka hadir pada hari penamaan, saya tidak tahu sejauh mana perbincangan di antara Dr. Mahathir dan Pas," ujarnya.

Pas hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu sokongan parti terhadap UMNO pada PRK kali ini berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands lalu. - UTUSAN ONLINE