Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, ini bagi memastikan gerak kerja Pas yang lebih berkesan.

“Kerjasama Pas dengan UMNO di Semenyih tidak sama seperti di Cameron Highlands bermaksud ia berlaku pelarasan gerak kerja.

“Di PRK Parlimen Cameron Highlands, kita menentang DAP dan di PRK DUN Semenyih, keadaan ini berbeza kerana gerak kerja diselaraskan supaya lebih berkesan,” katanya kepada pemberita sewaktu mengiringi calon Barisan Nasional (BN) melawat Pasar Malam Jenaris, Kajang, di sini hari ini.

Tambah Roslan Shahir, pihaknya komited untuk meningkatkan peratusan undian penyokong-penyokong Pas kepada BN pada PRK kali ini.

Katanya, sasaran peningkatan dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus daripada undi yang diperoleh Pas di DUN Semenyih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita peroleh 6,966 undi pada PRU-14. Komitmen kita untuk tambah 10 hingga 20 peratus lagi undi untuk diberi kepada BN di PRK DUN Semenyih,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE