WAN SAIFUL WAN JAN
WAN SAIFUL WAN JAN 

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Saiful Wan Jan yang turut memaklumkan pemimpin-pemimpin terbabit telah mengadakan pertemuan dengan beliau dan kepemimpinan lain bagi menyatakan hasrat tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan siapa pemimpin terbabit kerana perbincangan tersebut masih diperingkat awal.

“Kita memang telah berjumpa secara peribadi dengan individu (pemimpin UMNO) yang pegang jawatan di peringkat negeri, cawangan dan wakil rakyat. Kesediaan mereka itu adalah berdasarkan niat untuk kepentingan negeri Perlis selepas tidak selesa dengan kelemahan kerajaan negeri pada hari ini.

“Kita hanya akan menerima mereka yang benar-benar ikhlas untuk kepentingan negeri dan bukan menerima mereka yang ingin bersama kita hanya sekadar untuk menyelamatkan jawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa tujuh wakil rakyat BN negeri ini akan keluar parti bagi menyertai Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar sambil menyifatkan perkara itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan.

Bagaimanapun selepas itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengumumkan keluar daripada parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Pakatan Harapan.

Pada masa ini, pembangkang di Perlis mempunyai enam kerusi iaitu tiga dari PKR; dua daripada Pas dan seorang bebas.- UTUSAN ONLINE