Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, soal pemberian wang ihsan minyak berkenaan pernah disebut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sumbangan kepada kerajaan negeri.

“Saya membangkitkan kembali soal pemberian wang ihsan ini agar kerajaan yang ada pada hari ini dapat mempertimbangkannya semula.

“Jika kerajaan negeri menerima sumbangan wang ihsan ini, banyak perkara yang kita boleh belanjakan untuk manfaat rakyat,” katanya selepas Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019 yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah di sebuah hotel di sini semalam.

Seramai 161 pelajar kurang berkemampuan di sekitar daerah ini dan keluarga mereka diraikan dalam majlis berbuka puasa sempena program berkenaan.

Mereka juga menerima baucar bernilai RM300 seorang untuk membeli kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan wang tunai berjumlah RM100.

Pada Oktober 2012, Najib mengumumkan Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil menemukan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu dilaporkan berkata, negeri ini dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran. - UTUSAN ONLINE