Abdul Rahim yang keluar UMNO pada Disember tahun lalu menganggap Rafizi kerap mengeluarkan kenyataan yang merosakkan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Rafizi kata perbuatan Bersatu macam kerja kutip sampah. Otak seperti ini sama tarafnya dengan cara berpolitik di tepi jalan. Banyak ke­nyataan Rafizi memang rosakkan PKR dan PH.

ABDUL RAHIM THAMBY CHIK
ABDUL RAHIM THAMBY CHIK 

“Itu sebabnya dia ditolak dalam pemilihan partinya yang lalu. Saya cabar dia untuk berdebat dengan saya tentang strategi PH, setuju?,” jelas Abdul Rahim dalam laman Twitter beliau hari ini.

Rafizi merupakan antara pemimpin PH yang kurang se­nang dengan kemasukan beberapa bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu dan menganggap tindakan itu berlawanan dengan mandat rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Abdul Rahim yang keluar UMNO dilaporkan menghantar borang permohonan untuk menyertai Bersatu.

Namun apabila satu daripada pengikut akaun Twitter beliau bertanyakan tentang status sama ada telah diterima sebagai ahli Bersatu, Abdul Rahim sekadar menjawab “Orang kata saya sudah menjadi ahli Bersatu”.

Mengenai ca­ba­rannya untuk berdebat dengan Rafizi, Abdul Rahim berkata, sekiranya Rafizi setuju berdebat, beliau meminta ibu pejabat PKR menguruskan program tersebut.

“Tentukan lokasi dan tarikh, ia terbuka kepada umum. Majlis debat tidak boleh dijadikan tempat politiking iaitu bersorak tidak tentu pasal dan perjalanan debat terbuka kepada semua media,” katanya.

Beliau pada masa sama memuji Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat menerima kemasukan bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu serta Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggapnya sebagai tokoh penyelamat orang Melayu dan negara.