Beliau mengakui, PH kehilangan sedikit undi orang Melayu kerana mereka dihimpit rasa gusar selepas terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba memainkan sentimen menakut-nakutkan mereka.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air yang keruh iaitu apabila orang Melayu ditakutkan, mereka mendapat faedah.

"Mereka ini akan terus berusaha menakutkan lagi orang Melayu. Saya harap pendekatan politik yang digunakan mestilah matang supaya dapat mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bimbingan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, di sini hari ini.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan ketiga berturut-turut PH dalam PRK iaitu di Parlimen Cameron Highlands, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan terbaru di Rantau.

Malah di dalam ketiga-tiga PRK tersebut, sokongan orang Melayu termasuk golongan muda dilihat mula beralih arah kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, PH mengambil iktibar kekalahan dalam PRK sebelum ini.

Katanya, PH mendengar suara rakyat dan akan berusaha untuk memastikan tuntutan serta kehendak mereka itu dapat dipenuhi.

"Saya yakin, pihak kepimpinan atasan PH sudah bersedia dengan strategi untuk menghadapi PRK akan datang dan kembali mendapat sokongan," katanya.- UTUSAN ONLINE