Katanya, nostalgia sahaja tidak cukup untuk membawa perubahan atau kemajuan yang lebih baik demi masa depan.

Walaupun tidak menyebut secara jelas, namun, kenyataan Zainal Abidin dipercayai merujuk kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguasai kawasan itu sejak 1982 sebelum ‘menyerahkan’ kerusi itu kepada isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ternyata, nostalgia ‘bersama’ Anwar dan keluarganya tidak mudah luput daripada ingatan sebahagian besar penduduk Permatang Pauh hingga ke hari ini walaupun pemimpin tersebut kini sedang menjalani hukuman penjara sejak lebih tiga tahun lalu.

Malam tadi pula, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut membangkitkan mengenai nostalgia ketika mengumumkan calon Pas untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kata Abdul Hadi, keputusan Pas meletakkan Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk bertanding pada kerusi itu sejak 1999 mengimbas kejayaan calon Pas pada PRU 1978, Zabidi Ali yang berjaya memecah monopoli Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi berkenaan.

Apa ada pada nostalgia sebenarnya?

Jika dibandingkan dengan BN, Pas sebenarnya paling lama bernostalgia untuk menduduki kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika ini memandangkan kali terakhir mereka berbuat demikian ialah kira-kira 40 tahun lalu.

Melihat kepada senario semasa politik ketika ini, agak sukar untuk Pas mengulangi kejayaan 1978 walaupun gerak kerja mereka kali ini dikatakan telah dilancar lebih awal.

Bagi BN pula, inilah masa yang terbaik untuk mereka mengambil hati pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh selepas terlepas kerusi ‘panas’ itu selama hampir 20 tahun.

Tanpa mengira siapa yang bakal diletakkan bertanding untuk kerusi tersebut, BN seharusnya telah mula mencongak peluang mereka untuk kembali menawan kubu kuat Anwar itu.

Yang pasti, nostalgia itu hanya menjanjikan sesuatu yang menarik untuk dikenang, sedangkan realitinya mungkin pahit untuk ditelan.