Beliau berkata, sekiranya benar dakwaan yang mula tersebar sejak semalam itu menjadi kenyataan, maka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jelas mengkhianati umat Islam di negara ini. 

Tegasnya, tindakan itu juga mencerminkan dasar dan pendekatan Kerajaan PH mula menekan umat Islam khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Tabung Haji adalah institusi yang sepatutnya membantu untuk memudahkan masyarakat Islam daripada pelbagai lapisan kewangan untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.

“Dengan membatalkan subsidi itu, hasrat ramai umat Islam khususnya yang kurang berkemampuan untuk menunaikan haji akan hancur, lebih-lebih lagi mereka terpaksa menabung berpuluh tahun untuk melunaskan bayaran penuh sebanyak RM22,900 (tanpa subsidi).

“Tabung Haji bertanggungjawab untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah haji negara ini secara komprehensif dan sistematik, justeru institusi itu tidak harus dipolitik dan diperkotak-katik apatah lagi menekan umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.  –UTUSAN ONLINE