Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berban­ding pembangkang yang tidak mela­kukan apa-apa untuk membantu rakyat tetapi hanya pandai menye­mai benih kebencian terha­dap kerajaan sebagai modal politik bagi meraih undi.

“BN mempunyai agenda transformasi untuk rakyat yang sentiasa didahulukan tetapi bagi pembangkang, mereka hanya mahu merebut kuasa menggunakan hasad dengki, dendam dan menanam benih kebencian demi mengaut undi.

“Kita tahu pembangkang akan menggunakan pelbagai isu pada PRU-14. Saya tekankan bahawa kita berkhidmat bagi membina dan menjayakan negara tetapi pembangkang tiada rekod apa-apa yang boleh ditunjukkan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Fiesta NBOS Mesra Rakyat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Mempaga di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Doktor Aminuddin Hashim.

Menurut Tiong Lai, segala janji kerajaan BN sejak lima tahun lalu telah dapat ditepati dan rakyat mendapat manfaat besar daripada pelbagai transformasi yang dilaksanakan.

Sehubungan itu, tegas beliau, kepercayaan harus terus diberikan kepada BN dalam memastikan negara terus membangun dan rakyat mendapat pelbagai nikmat kemajuan negara.

Dalam pada itu, beliau memberi­tahu, sebuah pusat transformasi bandar (UTC) akan diwujudkan di daerah ini jika BN terus dipilih sebagai kerajaan selepas PRU-14.

“Dalam sesi pertemuan bersama rakyat, saya sering diajukan dengan permintaan agar sebuah UTC diwujudkan di Bentong untuk kemudahan bersama."

“Saya telah membuat permohonan kepada pihak berkenaan dan menerima maklum balas positif mengenainya," katanya.