Perkara tersebut dinyatakan dalam penjelasan panjang lebar yang dibahagikan kepada enam bahagian yang dipanggil ' pintu' sebelum dikongsikan Nik Mohamad Abduh sendiri di akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam kenyataan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, apabila rakaman audio tersebut tular tahun lalu, beliau memilih untuk bercakap benar dan mahu mengesahkannya kerana yakin isi ucapan itu akan mudah difahami jika diambil pendengar dalam konteks yang sebenar.

Bagaimanapun katanya, selepas merujuk kepada pimpinan parti, mereka memutuskan supaya beliau menafikannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merestui keputusan tersebut bagi membendung serangan dibuat musuh politik parti.

Tegas beliau, ada tiga institusi yang berhak mengubah keputusan pertama (penafian) tersebut iaitu Pas sebagai tuan beliau, mahkamah sebagai neraca menegak keadilan di dunia serta Kerajaan Malaysia melalui siasatan oleh pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kenyataan saya kepada ketiga-tiga institusi tersebut adalah sama. Saya mengakui kebenaran suara saya itu. Saya juga menegaskan di hadapan mereka untuk saya terus menafikannya di hadapan publik (awam) sebagai hak menjaga kerahsiaan yang ditekankan oleh agama," katanya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengesahkan rakaman itu sebagai ucapan beliau sebelum disusuli pengesahan Abdul Hadi sendiri pagi ini memberi isyarat bahawa parti telah bersetuju supaya beliau menukar pengakuan.

Beliau dalam pada itu berkata, ucapan dalam audio terbabit sebenarnya mengandungi dua intipati utama iaitu meminta 'kumpulan 40' berhenti menyiasat dan menghukum pimpinan parti serta menerangkan hukum agama berkaitan mengambil wang musuh politik iaitu UMNO.

Katanya, kekhilafan besar adalah dalam soal hukum mengambil wang orang UMNO kerana kumpulan itu mendakwa, mengambil wang UMNO adalah rasuah semuanya kerana UMNO adalah musuh dan sebarang terimaan adalah berunsur rasuah.

"Saya dalam rakaman tersebut cuba menjelaskan bahawa ia adalah salah dan bahaya. Saya jelaskan menerima wang sesiapa pun daripada UMNO adalah haram hanya apabila berbentuk rasuah atau sogokan atau dedak yang bermaksud kita terpaksa menjual perjuangan dengan mencairkan pendirian parti atau menyokong tindakan UMNO yang bersalahan dengan polisi parti.

"Adapun pemberian biasa seperti kekeluargaan, persahabatan, derma, kebajikan dan lain-lain, maka ia adalah harus. Bahkan ia menambah kasih sayang di antara umat Islam," katanya.

Nik Mohamad Abduh juga menjelaskan bahawa beliau hadir menyertai perbincangan dalam Majlis Syura Pas berkaitan isu itu dan semua telah sepakat bahawa menerima wang UMNO adalah harus kecuali bertujuan rasuah dan ia adalah amalan puluhan tahun dalam Pas apabila para ulamak menerima secara terbuka wang orang-orang UMNO.

Malangnya kata beliau, kumpulan 40 terbabit tidak pernah berpuas hati dan menyalah tafsir ucapannya dengan menganggap beliau telah memperakui bahawa Pas telah menerima wang rasuah dan sogokan daripada UMNO.

"Justeru saya menamakannya (rakaman audio) sebelum ini sebagai audio karut, mengarut dan fitnah," katanya.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada seluruh ahli dan penyokong Pas serta rakyat yang menerima dengan hati terbuka kenyataan penafian beliau setahun lalu yang dilihat berjaya meneguhkan Pas untuk melangkah memasuki PRU-14. - UTUSAN ONLINE