Itu penegasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kenyataan Ali Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang berkata, dia turut membantu Barisan Nasional (BN) dengan menggesa Najib supaya 'duduk diam'.

Najib dalam satu hantaran terbaharu di Facebook hari ini berkata, dia tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang untuk membela rakyat.

Dalam hantaran tersebut, Najib berkata, Mohamed Nazri tidak sepatutnya meminta beliau atau mana-mana ahli BN untuk berdiam diri. Malah Najib meminta Mohamed Nazri untuk bergerak ke seluruh negara untuk melawan Pakatan Harapan (PH).

"Najib akan terus berjuang membela rakyat. Kalau nak bantu parti, dialu-alukan.

"Patut dia pergi jelajah seluruh negara. Lawan PH yang menindas rakyat. Bukan dengan cara suruh saya atau mana-mana ahli duduk diam," tulis Najib.

Mohamed Nazri semalam dilaporkan menafikan dirinya tidak membantu parti ketika BN tidak lagi menjadi kerajaan.

"Bila saya serang parti? Tidakkah saya membantu parti dengan meminta Datuk Seri Najib Tun Razak mengasingkan diri?

"Itu kira membantulah pada saya. Tengok dia tidak mengasingkan diri, dia akan memudaratkan parti," kata Mohamed Nazri seperti yang dilaporkan Sinar Harian ketika ditemui di Parlimen semalam.

Mohamed Nazri berkata demikian untuk menjawab kritikan ramai yang mendakwa bahawa beliau kini tidak bersikap seperti dahulu, malah lebih mesra dengan PH.-UTUSAN ONLINE