Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang sehingga kini belum mengadakan mesyuarat.

Dalam masa sama, tambah beliau, pihaknya menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili kes tersebut.

"Pendirian terhadap beliau (termasuk supaya bercuti) akan ditentukan oleh parti, bukannya oleh mana-mana individu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Paul Yong pagi ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Ipoh, Perak atas tuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya, Julai lalu dan meminta dibicarakan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Ekoran pertuduhan itu juga, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan beliau supaya bercuti daripada tugas-tugas rasmi sebagai exco kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Anthony menegaskan, beliau tidak mengetahui apa-apa berhubung kemungkinan berlakunya rombakan atau pertukaran Kabinet.

"Jadi, saya akan teruskan dengan kerja saya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan tiada rombakan Kabinet akan berlaku seperti yang dilaporkan beberapa portal berita sejak kelmarin.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran portfolio membabitkan menteri Kabinet. - UTUSAN ONLINE