Apa yang perlu dilakukan Najib adalah menjadikan proses mahkamah sebagai platform terbaik untuk membersihkan nama dan imejnya daripada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah berpendapat kes berkenaan tidak patut ditangguhkan lagi kerana ia melibatkan kepentingan awam, bukan kepentingan Ahli Parlimen Pekan itu semata-mata.

Jelas Dominic, penangguhan kes itu hanya akan mengakibatkan ketidakpuasan hati ramai pihak kerana sejak Najib mula didakwa pada pertengahan tahun lalu, rakyat mengikuti rapat kes melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

“Najib telah berulang kali mengatakan beliau tidak bersalah dan Gerakan juga memegang prinsip sesiapa yang belum dijatuhi hukuman tidak boleh dianggap bersalah.

“Sehubungan itu, kami menggesa Najib supaya tidak memfailkan penangguhan kes SRC International itu bagi membolehkan mahkamah meneruskan perbicaraan dengan adil bagi membersihkan namanya sekiranya beliau tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan kes berkaitan dana SRC International di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Putrajaya bersama-sama sijil perakuan segera.

Bekas Perdana Menteri itu memohon menangguhkan perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan. - UTUSAN ONLINE