Guan Eng berkata, beliau sendiri akan menilai permohonan tersebut sama ada Najib layak atau tidak untuk menerajui KWSP yang menjadi sasaran kritikan walaupun agensi tersebut kini diterajui oleh mereka yang berwibawa dan profesional.

“Kalau tidak puas hati dia (Najib) boleh buat permohonan jadi CEO, kita akan tengok (permohonan) itu.

“Yang saya lihat semua adalah profesional, sebagai contoh CEO dahulu, Datuk Shahril Ridza Ridzuan adalah CEO daripada zaman dia (Najib), kemudian Tunku Alizakri Alias dilantik menjadi CEO baharu, mereka berdua ini dari zaman dia dan barisan yang sangat berwibawa, elok kita buang yang keruh ambil yang jernih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini hari ini.

Semalam, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion; dan 5.90 peratus untuk Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah sebanyak RM47.31 bilion, turun 1.70 peratus berbanding pada 2017.

Bagaimanapun, Najib mengkritik pengumuman dividen tersebut kerana ia dibuat dengan KWSP tidak mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. - UTUSAN ONLINE