Najib berkata, tindakan tidak wajar daripada agensi berkaitan serta isu berkaitan pembekuan akaun beliau yang tidak mendapat penjelasan dengan baik menimbulkan kekecewaan.

“Ramai yang tidak tahu bahawa akaun bank peribadi saya yang telah bertahan selama bertahun-tahun juga dibekukan minggu lepas. Akaun bank ini tidak mempunyai urus niaga lain kerana ia hanya digunakan untuk menerima gaji saya sebagai Ahli Parlimen dan pencen saya sebagai Menteri Besar Pahang sepanjang saya berkhidmat untuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Menjelang pagi ini, saya dimaklumkan bahawa akaun anak-anak saya bebas dari pembekuan dan perkara ini membuktikan perintah awal membekukan akaun mereka adalah tidak berasas. Saya kecewa dengan tindakan tidak wajar daripada agensi berkenaan terhadap pembekuan akaun saya, tiada penjelasan masa dan menjalankan tugas yang ganas oleh kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut menyatakan pesanan kepada pihak berkuasa bahawa beliau juga adalah warganegara biasa dan mempunyai tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Sebagai ketua keluarga, saya juga mempunyai bil untuk dibayar. Bil-bil perubatan serta kos tanggungan keluarga untuk diselenggara. Ini menyebabkan kesulitan dan kesukaran dalam melaksanakan peranan ini disebabkan pihak berkuasa membekukan akaun saya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan turut memohon agar diberikan akses kepada kebebasan peribadinya seperti mana-mana warganegara lain sehingga perbicaraan selesai.

Tambah Najib, beliau memohon kepada semua pihak agar mematuhi peraturan penyiasatan yang adil.

“Sekiranya kita tidak menghormati kedaulatan undang-undang, kaedah-kaedah Keadilan Semulajadi dan Perlembagaan Persekutuan, akhirnya kita akan menjadi sebuah negara yang gagal,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE