Pua menerusi kenyataan hari ini teruja dengan kemampuan kerajaan PH merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan sebanyak RM21.7 bilion bagi suku pertama 2019, yang disifatkan tertinggi dalam sejarah negara untuk tempoh satu suku.

Ketika menghuraikan kejayaan tersebut, beliau mempertahankan keputusan syarikat gergasi Jepun, Mitsui & Co. Ltd. apabila membeli kepentingan pengendali hospital milik Khazanah Nasional, IHH Healthcare Bhd. pada tahun lalu sehingga dilihat membantu Malaysia mencatatkan aliran FDI yang tinggi.

Beliau turut mempersendakan Najib kononnya bekas Perdana Menteri itu tidak memahami kepentingan pelaburan tersebut selain membandingkan pelaburan syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco di dalam Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor yang berlaku pada tahun 2017.

Najib dalam kenyataan balas menganggap Pua sebenarnya mengesahkan bahawa kebanyakan daripada pelaburan RM21.7 bilion itu merupakan penjualan aset negara.

“Terutamanya, dia puji penjualan syarikat IHH yang dibina masa saya Perdana Menteri kepada Jepun dan menyebabkan syarikat Malaysia itu menjadi syarikat milik Jepun. Dia kata penjualan ini merupakan pelaburan yang berkualiti tinggi,” kata Najib dalam akaun Facebook beliau.

Kata Najib, keadaan menjadi lebih parah apabila Pua cuba membandingkan penjualan saham IHH dengan pelaburan AS$7 bilion (RM30 bilion) oleh Saudi Aramco.

“Macam ini pun boleh? Biar saya jelaskan perbezaan. Syarikat IHH merupakan satu syarikat yang sudah lama beroperasi dan untungnya semakin bertambah.

“Projek yang dilabur oleh Saudi Aramco itu pula masih dalam pembinaan semasa pelaburan dibuat. Belum beroperasi lagi. Untung atau rugi pun belum tahu lagi. Wang yang diterima oleh Petronas daripada Saudi Aramco pula digunakan untuk membina projek-projek lain dalam projek kompleks Pengerang,” katanya.

Najib juga menjelaskan prospek pelaburan oleh Saudi Aramco yang menjamin akan membekal sekurang-kurangnya minyak mentah yang diperoleh dan membeli 50 peratus daripada hasil keluaran projek itu.

“Apa yang kita dapat dari penjualan saham IHH kepada Jepun? Hanya wang RM8.4 bilion masuk ke kerajaan PH untuk diguna entah di mana. Syarikat yang merupakan kumpulan pusat perubatan kedua besar dalam dunia yang duhulunya Malaysia menjadi syarikat Jepun.

“Satu peluang pekerjaan baru pun tidak dijanakan. Cuma jual saham sahaja. Nampak perbezaan tak? Atau masih mahu menegakkan benang yang basah?” soal Najib. - UTUSAN ONLINE