Ahmad Samsuri berkata, walaupun berat hati tetapi atas dasar untuk menyuburkan ruang demokrasi yang ada dalam parti beliau menerima dan menghormati pencalonan daripada kawasan-kawasan di peringkat akar umbi.

Menyifatkan dirinya sebagai calon ‘underdog’, beliau yang menyanjung tinggi ketiga-tiga penyandang dalam masa sama berharap agar mereka dapat terus menjalankan tugas dan amanah sebagai Naib Presiden di waktu akan datang.

“Mereka adalah abang-abang saya yang banyak memberi tunjuk ajar dalam pelbagai perkara sebab itu saya rasa berat hati sebenarnya apabila menerima pencalonan itu.

“Apa pun saya menyerahkan kepada seluruh perwakilan parti dalam Muktamar di Kuantan nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dalam Pertandingan European Exhibition of Creativity And Innovation (Euroinvent) 2019, Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Panji Alam, Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood.

Bagi jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Ahmad Samsuri yang juga Yang Dipertua Pas Marang berkata, pemilihan parti yang berlangsung setiap dua tahun sekali itu disifatkan adalah urusan dalaman keluarga dan proses tersebut diyakini akan berjalan dalam suasana harmoni sebagai sebuah keluarga.

Dalam pada itu, beliau tidak mengganggap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu akan memberi kelebihan besar dalam pertandingan jawatan Naib Presiden sebaliknya, menyifatkan dirinya masih lagi belum sempurna dalam tempoh setahun menerajui negeri ini.

“Saya rasa tidak juga sebab kerana dalam tempoh setahun ini saya memberi markah kepada diri saya sendiri, banyak lagi perkara yang belum saya buat dan mampu capai, jadi kalau kita rasa belum menjalankan tugas dengan sepenuhnya terbaik, tentunya ia bukan satu kelebihan.

“Apa pun saya serahkan kepada semua ahli parti untuk membuat pertimbangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE