Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung peletakan jawatan tersebut:

Semenjak PRU 14 melabuhkan tirai, seperti orang lain juga, saya telah membuat beberapa pemerhatian tentang lanskap politik Malaysia, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara.

Berdasarkan kpd beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini.

Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.

Secara prinsipnya, pendirian politik saya adalah UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. 

UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

Saya percaya bhw inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia majmuk. 

Namun hala tuju yg diambil UMNO hari ini tidak lagi selari dgn prinsip politik yg menjadi pegangan saya selama ini & tidak ada banyak usaha meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Maka atas dasar inilah setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kpd sahabat2 dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yg byk bantu sepanjang saya berkhidmat utk UMNO, dari kepimpinan parti sehingga akar umbi.

InshaAllah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan Malaysia yg terbilang.

Saya mendoakan negara kita akan terus aman, makmur dan disegani di peringkat antarabangsa.

Semoga lembaran baharu Malaysia ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan.

Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. 

Kepada Allah SWT jua kita berserah.

Kenyataan Tok Pa