Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, ini kerana, Perlembagaan negeri dan undang-undang telah menyatakan bahawa Musa adalah Ketua Menteri yang sah.

"Saya percaya keputusan mahkamah nanti akan jadi titik tolak perubahan kerajaan negeri, keputusan ini kalau tidak ada campur tangan ghaib dari mana-mana.

"Kalau berasaskan Perlembagaan negeri dan undang-undang, Musa pasti akan diisytihar sebagai Ketua Menteri yang sah," katanya ketika ditemui Utusan Online selepas Program Penjelasan MA63, di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober ini akan bersidang untuk mendengar kes saman Musa ke atas Mohd. Shafie dan Juhar berhubung pelantikannya sebagai Ketua Menteri yang sah.

Sebelum ini, pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di depan Juhar, namun dua hari selepas itu, giliran Mohd. Shafie pula dilantik selepas lima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar parti.

Berikutan itu, pada 6 Jun, Musa memfailkan saman bagi memohon mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai penjawat jawatan itu yang sah. - UTUSAN ONLINE