Menurutnya, keputusan itu diambil setelah melihat kepada reaksi peminat dan rakyat Kedah yang rata-ratanya memberi sokongan terutamanya di laman-laman sosial.

“Setakat sekarang ini saya akan terima jawatan itu, kecuali kalau ada individu lain yang berhasrat hendak bertanding sebagai presiden dalam mesyuarat agung tahungan (AGM).

“Saya membaca komen-komen dalam laman sosial dan nampak permintaan untuk saya kembali menerajui KFA agak tinggi walaupun ada yang berpendapat kurang sesuai. Jika itu hasrat majoriti penyokong, insya Allah saya terima dan cuba lakukan yang terbaik supaya kita kembali menjulang piala,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Berbuka Puasa bersama warga Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, seperti di jabatan-jabatan lain di negeri ini, antara perkara pertama yang akan dilakukan sebaik memegang jawatan itu adalah menjalankan audit bagi memastikan perbelanjaan dilakukan KFA selama ini sememangnya wajar.

“Kita akan cuba kurangkan kos dan sambil itu berusaha menambah tajaan pihak swasta. Dalam hal ini kita mahu pastikan Lang Merah mempunyai cukup pembiayaan supaya segala keperluan dipenuhi selain tidak timbul isu-isu lain seperti kelewatan membayar gaji,” katanya.

Ditanya mengenai kekosongan jawatan tertentu seperti Setiausaha Kehormat dan Bendahari KFA, Mukhriz menjelaskan setakat ini beberapa individu sedang dipertimbangkan untuk jawatan tersebut.

“Sebenarnya ada harapan memuncak diletakkan di bahu saya bersama rakan-rakan lain untuk menerajui KFA. Bagi saya ini bukanlah sesuatu yang boleh diusahakan seorang diri sebaliknya memerlukan kerjasama dan dokonga pelbagai pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE