Menurut beliau, perkara tersebut sepatutnya sudah dijangka lebih awal apabila ada ahli Parlimen yang mengumumkan keluar daripada parti asal dan menjadi wakil rakyat bebas.

Katanya, maka mereka yang terlibat berkemungkinan akan menyertai mana-mana parti dalam PH.

"Perkara ini bukan sesuatu yang mengejutkan, dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pun memang perkara ini ada dibincangkan, tetapi mungkin tidak khusus kepada sesiapa yang akan memohon atau diterima.

"Soal lompat-melompat ini memang dari dahulu lagi, jadi setiap kali berlaku memang akan ada komen begitu (katak).

"Tapi, kalau lompat ke pihak mereka mungkin tak timbul pula isu itu kan.. Tapi bila ada datang ke Bersatu sahaja tak tahu lah mungkin... Saya tak fikir cemburu ka apa, cuma tak tau lah," katanya selepas menutup Lab Peningkatan Hasil negeri di sini, hari ini.

Isu kemasukan enam Ahli Parlimen UMNO mendapat perhatian ramai apabila pemimpin parti-parti komponen PH seperti DAP dan PKR mempersoalkan kewajaran Bersatu menerima 'sampah' UMNO ke dalam parti itu.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar berkata, perkara berkenaan tidak hanya berlaku kepada Bersatu sahaja kerana terdapat juga parti-parti lain menerima wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, ujar beliau, pemimpin-pemimpin parti komponen PH juga pernah mempelawa wakil-wakil rakyat untuk menyertai mereka dan sepatutnya tidak berlaku sebarang bantahan apabila ahli-ahli parlimen itu menyertai Bersatu.

"Tetapi, suka saya nak beritahu, kami (Bersatu) pun sebahagian daripada PH, apabila ada orang sertai PH melalui Bersatu atau mana-mana parti sepatutnya dilihat sebagai kekuatan kepada PH dan ia juga menunjukkan apa yang dibawa oleh parti lama mereka gagal sebaliknya yakin dengan apa dibawa PH," ujarnya.

Sementara itu, Mukhriz menyifatkan kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menganggap kemasukan wakil rakyat terbabit tidak akan melemahkan UMNO, sebaliknya melunturkan semangat penyokong PH sebagai pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Namun, beliau mengakui kemasukan Ahli Parlimen UMNO itu mungkin mengundang kemarahan sebahagian penyokong, tetapi tidak sehingga memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, kelak. - UTUSAN ONLINE