ABDUL RAHMAN

Hal ini kerana undang-undang yang diguna pakai pihak berkuasa agama adalah tertakluk kepada enakmen jenayah syariah negeri masing-masing.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menegaskan, bukan sahaja menteri, bahkan arahan yang dikeluarkan Kabinet mahupun Parlimen sekalipun adalah berstatus tidak sah berhubung perkara sedemikian.

“Sepatutnya, sebelum buat kenyataan menteri kena faham bahawa dia tidak boleh campur urusan agama Islam di negeri-negeri. Maka, dia tidak ada hak untuk buat kenyataan begitu.

“Hal agama Islam adalah di bawah Tuanku Sultan di negeri-negeri sebagai ketua agama. Ia bermakna, kalau dia cakap macam itu seolah-olah tidak hormat Sultan, dia cuba campur tangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Memetik laporan akhbar The Star Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, tiada lagi ketukan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau salah laku lain yang melibatkan orang Islam selepas ini.

Tegas beliau, apa yang dilakukan oleh orang Islam di belakang pintu dan secara tertutup bukanlah urusan pihak kerajaan.

Dalam pada itu, cubaan Ming­guan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan beliau gagal apabila Ahli Parlimen Parit Buntar itu tidak menjawab panggilan telefon dan pesanan melalui aplikasi Whatsapp.

Selain itu, usaha untuk mendapatkan kenyataan balas daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga tidak berhasil apabila Mingguan Malaysia difahamkan badan itu dilarang untuk berbuat demikian kerana semua persoalan akan dijawab oleh Mujahid dalam sidang akhbar pada Isnin ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kenyataan seperti itu boleh diibaratkan sebagai satu bentuk penghinaan kepada pihak berkuasa agama yang sebelum ini melakukan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Khalwat adalah mukadimah kepada zina. Memang ada peruntukan dalam enakmen jenayah syariah negeri masing-masing untuk membanteras perlakuan berkenaan.

“Kita wajib mencegah kemungkaran walaupun dalam tempat persendirian. Lagipun pihak berkuasa agama bertindak jika ada laporan dan bukan hanya semberono. Ikut SOP yang telah digariskan,” katanya.