Ketua Pendaftar PPBM Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar berkata, desakan itu dibuat oleh sebahagian besar daripada 24 bahagian PPBM di Perak setelah mendapati Muhyiddin bertanggungjawab di atas segala kepincangan parti yang berlaku di pe­ringkat kebangsaan dan negeri.

Beliau mendakwa, ahli parti sudah sampai ke tahap tidak dapat menerima tindak-tanduk pre­siden parti yang disifatkan tidak pernah ikhlas dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyokong dan pendukung parti yang lain.

Katanya, Presiden PPBM itu sepanjang masa menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan di atas populariti Dr. Mahathir sebagai pengerusi, bagi mencatur parti dengan meletak orang tertentu pada kedudukan penting di semua peringkat.

“PPBM Perak memberi tempoh seminggu kepada presiden parti supaya memberikan respons terhadap desakan kami ini.

“Jika masih tiada apa-apa respon daripada beliau, kami iaitu lebih separuh daripada ahli dan pemimpin PPBM Perak akan meletak jawatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azrul Suhadi, Muh­yiddin tidak mempunyai kekuatan, sokongan akar umbi, tidak ikhlas, memilih bulu dan tidak mempunyai aura politik yang menyakinkan.

Katanya, Muhyiddin juga tiada kredibiliti dan tiada ada pendirian serta mudah dipengaruhi beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dalam membuat keputusan penting parti.

Menurutnya, sikap presiden PPBM itu yang suka mencatur jawatan dalam parti sehingga mengetepikan dan menafikan hak ahli-ahli PPBM dan memperalatkan parti.

“Matlamat dan perjuangan PPBM juga tidak jelas terutama­nya berkenaan hubungan dengan Pas yang mana daripada awal lagi Pengerusi PPBM sudah membuat ketetapan untuk terus memutuskan hubungan dengan Pas.

“Namun, Muhyiddin dan kum­pulannya mem­bela­kangkan keputusan pengerusi parti,” dakwanya.