Muhammad Khalil berkata, Dewan Pemuda Pas memiliki ramai pelapis sama ada di peringkat kawasan, negeri dan Pusat, justeru proses peralihan kepemimpinan itu diharap dapat mengetengahkan lagi potensi mereka untuk memimpin dengan lebih baik.

“Dalam bahasa orang Terengganu, kita tak nak bagi ‘sumbat’ di atas, jadi biarlah proses peralihan kepemimpinan berlaku dengan lancar dan baik.

“Saya harap kepemimpinan baharu Dewan Pemuda dapat memastikan kesinambungan perjuangan Pas dijaga dan dipelihara khususnya berkaitan prinsip dan dasar, dalam masa sama menjadi pendesak kepada parti untuk terus membuat perubahan terutama di era baharu politik negara yang sudah berbeza dengan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dalam Pertandingan European Exhibition of Creativity And Innovation (Euroinvent) 2019 Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam di sini hari ini.

Dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-65 itu, Muhammad Khalil yang memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat selama sepenggal bakal bertanding jawatan AJK Pas Pusat. - UTUSAN ONLINE