Timbalan Presidennya, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman berkata, kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu tampak lebih serius apatah lagi akan memeterai piagam kerjasama tidak lama lagi.

Menurutnya, orang bukan Melayu juga tidak perlu bimbang kerana kerjasama UMNO dan Pas sama sekali tidak akan menyisihkan mereka seperti yang dapat dilihat dalam tempoh lebih 60 tahun ini.

“Saya melihat ini perkembangan yang cukup positif kerana perkara ini pun kita sudah lama cakap dan saya sendiri sudah beberapa kali menyuarakan kepada kumpulan tertentu sebelum ini bahawa ini satu penyelesaian terbaik dan yang paling ideal.

“Saya rasa salah satu faktor kenapa kali ini kita boleh lihat kerjasama ini lebih jitu adalah kerana komitmen kuat yang ditunjukkan Pas yang sudah berpengalaman bekerjasama dengan beberapa parti lain sebelum ini.

“Mereka pernah berada dalam Pakatan Rakyat bersama DAP, jadi Pas ada pengalaman yang menyaksikan tiada keikhlasan dalam parti lain kecuali UMNO sahaja pilihan mereka ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bekas-Bekas Wakil Rakyat negeri ini dan Sambutan Aidilfitri Mubarak Kedah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Mubarak negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff.

Sementara itu, Abdul Rahman secara peribadi berpendapat adalah lebih baik kerajaan hari ini membubarkan Parlimen berbanding berusaha keras untuk mengharamkan UMNO kerana langkah itu tidak akan menjamin kestabilan politik.

“Mereka cuba mengharamkan UMNO dengan harapan ahli-ahlinya akan melangkah masuk dan menguatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi itu pun tidak akan menjamin kestabilan politik

“Hanya satu cara sahaja iaitu mereka perlu bubar Parlimen supaya rakyat boleh membuat pilihan baharu,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE