Katanya, pada masa ini beliau masih bersama parti itu dan menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Jempol dan Ahli Parlimen seperti biasa.

“Saya menafikan perkara itu (tinggalkan UMNO), terkejut juga apabila ada tiga Ahli Parlimen dari Negeri Sembilan dalam senarai tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Salim berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya segera menggariskan hala tuju UMNO bagi mengelak lebih ramai pemimpin keluar parti.

“Saya mahu tunggu dan lihat keputusan, gerak kerja parti dan perancangan presiden. Di peringkat bawah wujud pelbagai reaksi kerana sebelum ini ada yang kata akan ada kerajaan campuran.

“Mungkin pemimpin yang tinggalkan UMNO ini melihat tiada perubahan selepas sekian lama atau sudah tidak yakin dengan kepimpinan sedia sehingga mengambil keputusan sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE