Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia penting antaranya bagi membolehkan kerajaan negeri meminda beberapa enakmen dan peruntukan undang-undang yang telah lapuk.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, selain itu, kerajaan negeri memerlukan majoriti tersebut bagi melicinkan pelaksanaan Pelan Pembangunan 30 tahun Negeri Sembilan 2015-2045 supaya rakyat dapat menikmati kemajuan dan kesejahteraan.

“Sejak 10 tahun lalu, banyak masa dibazirkan apabila Dewan Undangan Negeri hanya membahaskan isu yang kurang penting.

“Kerajaan yang memerintah tidak dapat membentangkan undang-undang baharu atau meminda peruntukan yang telah ketinggalan zaman kerana kita tidak mempunyai penguasaan majoriti dua pertiga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ketika ini, DUN negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan 22 disandang oleh BN.

Mohamad memberitahu, antara kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri tanpa majoriti tersebut ialah mewujudkan kerusi baharu untuk DUN.

“Kita mempunyai lebih 39,000 pengundi di Paroi sahaja dan bilangan itu lebih besar di kerusi Parlimen tertentu.

“Kita juga mempunyai enam kerusi DUN dalam Parlimen Rasah dan lima kerusi DUN di Parlimen Seremban sedangkan kita sepatutnya mewujudkan satu kerusi Parlimen baharu di sini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE