Tambah tidak masuk akal jelas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pakatan Harapan yang kononnya mahu membawa perubahan kepada Malaysia dengan membuka ruang kepada campur tangan asing, menampilkan pula tokoh yang terkenal dengan banyak salah laku ketika era pemerintahannya selama 22 tahun sebagai bakal Perdana Menteri.

“Ada parti tak berani lawan BN, dia dakwa berani tapi sebenarnya pengecut kerana minta tolong orang luar, jemput orang asing dan media asing. Kita tidak jemput orang asing, kita tidak ajak orang asing untuk campur tangan urusan politik negara.

“Kami ada gagasan kami sendiri, kami tidak minta tolong orang asing kerana minta tolong orang asing, jemput campur tangan asing ini adalah satu pendekatan politik yang salah,” katanya ketika berucap di Munajat Perdana Pas Selangor di sini, malam semalam yang dihadiri lebih 5,000 penyokong Pas.

Majlis yang dianjurkan sempena 10 tahun Pas di dalam Kerajaan Negeri Selangor itu dimulakan dengan solat Magrib dan Isyak berjemaah sebelum disusuli dengan solat hajat yang diimamkan Anggota Jawatankuasa Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd. Rani yang kemudiannya mengetuai bacaan doa bagi memohon kehancuran pakatan jahat di Selangor.

Sebelum ini, pembangkang tergamak melakukan pelbagai cara bagi membuka ruang kepada campur tangan asing dalam politik negara semata-mata untuk menggulingkan kerajaan BN yang dipilih secara sah melalui pilihan raya termasuk mendapatkan dana bagi menggerakkan siri demonstrasi jalanan.

Selain itu, pakatan tersebut juga sanggup bersekongkol dengan pihak luar untuk memburuk-burukkan negara termasuk meminta campur tangan asing dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan pula, Abdul Hadi memberitahu Pas akan bertanding di sekurang-kurangnya di 130 kerusi Parlimen dan yakin parti itu mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pas akan lawan semua penjuru, kita akan tanding 130 kerusi atau lebih. Kita berusaha sekurang-kurangnya capai majoriti mudah dan kalau tidak (tak capai) dengan majoriti kerusi yang banyak kita boleh jadi ‘king maker’ (pemutus).

“Tapi kita tidak pelahap, jika menang kita akan buat perubahan dan kalau tidak menang, kita akan jadi penasihat kerajaan supaya dibuat perubahan demi kepentingan rakyat, negara dan agama Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE