Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mes­­yu­arat khas di sini hari ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April manakala tarikh mengundi awal adalah pada 5 Mei.

Seperti diduga, pemilihan tarikh pengundian pada hari Rabu 9 Mei mencetuskan polemik apabila ramai yang mempertikaikannya.

Dan seperti biasa, kerajaan dipersalahkan dan dituduh merompak demokrasi sedangkan pemilihan hari pengundian jatuh hari bekerja bukanlah sesuatu yang luar biasa sejak PRU pertama diadakan pada 1959.

Sejarah menunjukkan, sejak tahun tersebut, sebanyak empat kali pilihan raya diadakan pada hari bekerja iaitu pada 1959 iaitu Rabu (19 Ogos), 1982 (Khamis 22 April), 1995 (Selasa 25 April) dan 1999 (Isnin 29 November).

Pengundian hari bekerja juga pernah berlaku di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu iaitu pada Ahad seperti mana berlaku pada 1986 (3 Ogos), 1990 (21 Oktober) dan 2004 (21 Mac).

Bagi tempoh berkempen yang ditetapkan selama 11 hari ini bermula 28 April juga bukanlah luar biasa. Tempoh paling singkat ialah pada 2004 iaitu lapan hari dan 1999 (sembilan hari).

Menurut Mohd. Hashim, ber­da­sarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017, seramai 14,940,624 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Jumlah itu membabitkan pemilih biasa seramai 14,636,716 orang, pemilih awal (tentera dan pasangan serta polis) 300,255 orang dan pengundi tidak hadir luar negara seramai 3,653 orang.

Kata beliau, berdasarkan statistik jantina, seramai 7,557,187 orang atau 50.58 peratus wanita akan terlibat sebagai pemilih dalam PRU-14 manakala lelaki sebanyak 7,383,437 orang.

‘‘Statistik umur pula menunjukkan individu berusia 30 hingga 39 tahun merupakan pemilih paling ramai iaitu 3,542,847 orang diikuti individu berusia 40 hingga 49 tahun seramai 3,027640 orang. Pemilih yang berusia antara 21 hingga 29 tahun pula seramai 2,542,847 orang, manakala pengundi yang berusia 90 tahun ke atas pula seramai 66,831 orang,” katanya.

Beliau berkata, SPR juga telah menjemput 14 buah negara sebagai pemerhati antarabangsa yang terdiri daripada badan pengurusan pilihan raya dari negara-negara anggota ASEAN, Komanwel, Asia dan Eropah.

‘‘Kita juga menjemput sebuah pusat kajian dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom (UK) iaitu Pusat Pengajian Komanwel Malaysia (MCSC) sebagai pemerhati.

“Selain itu, 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil universiti juga dilantik sebagai pemerhati tempatan bagi menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses PRU-14 bermula hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan,” katanya.

Jelas Mohd. Hashim, pemerhati antarabangsa dan tempatan dibenarkan membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.