JOHARI MAT
JOHARI MAT 

Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Johari Mat berkata, urusan memilih kerajaan adalah perkara yang penting dalam Islam selain merupakan satu tanggungjawab sebagai warga sesebuah negara.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri berkata, setiap orang Islam perlu memahami bahawa mengundi adalah amalan yang mempunyai timbangan dosa dan pahala

“Kita tengok sekarang ada orang menyesal kerana dia salah pilih contohnya menyesal pilih Pakatan Harapan (PH), yang lebih salah lagi adalah yang tidak pergi mengundi, dan yang paling salah adalah yang tidak ambil apa-apa tindakan.

“(Urusan) memilih kerajaan adalah ajaran Islam, dalil mudah apabila Rasulullah SAW wafat, para sahabat ketika itu, perkara pertama mereka buat adalah melantik siapa yang akan mentadbir negara.

“Setiap orang tidak kira ketika Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), dia sedang buat amalan, dan amalan itu akan diberi ganjaran kalau betul, kalau salah ditanggung dunia hingga akhirat, kita kena ada rasa bila mengundi itu dapat pahala,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Johari mengulas laporan akhbar semalam mengenai bilangan 167,000 orang berumur 21 tahun ke atas di negeri ini yang masih belum berdaftar sebagai pengundi.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Fakhrul Razi Ab Wahab dilaporkan berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 3.7 juta rakyat di seluruh negara yang belum mendaftar dengan majoritinya adalah orang Melayu. - UTUSAN ONLINE