Yang layak bertanding a­khirnya tujuh orang iaitu calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar serta lima calon bertanding atas tiket Bebas.

Dalam kalangan lima calon Bebas itu, hanya calon bersimbolkan kerusi, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang dianggap mempunyai alasan kukuh untuk bertanding.

Walaupun telah keluar UMNO, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu digambarkan mewakili suara parti berkenaan yang memboikot PRK Parlimen Port Dickson sekali gus dilihat sebagai pencabar utama kepada usaha Anwar untuk ke Parlimen.

Calon-calon Bebas lain sukar dibaca niat sebenar mereka bertanding.

Yang pasti bukan untuk menang dan hampir tiada peluang untuk menang. Kemunculan mereka menimbulkan lebih banyak persoalan kepada pe­ngundi dan pihak media.

Mereka bukan orang Port Dickson, bukan juga ahli politik, tidak mempunyai motif yang kuat untuk menawarkan diri dan banyak lagi soalan yang tidak terjawab.

Malah timbul dakwaan mereka dibayar pihak berkepentingan untuk turut serta dalam PRK ini. Bagaima­napun, dakwaan itu dinafikan mereka.

Penyertaan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, contohnya memang mengejutkan pada awalnya. Dia seolah-olah mahu membuka semula aib lama yang dikaitkan dengan Anwar, bekas majikannya dulu. Namun semakin lama berkempen, impak kehadirannya makin kendur dan tidak dirasakan pengundi.

Mungkin mereka bertanding untuk menimba pengalaman, menjadi sebahagian sejarah dalam PRK melibatkan bakal Perdana Menteri atau sekadar ingin menjadi tumpuan media. Hanya mereka yang tahu. Setidak-tidaknya kehadiran mereka mewarnai dan me­nyuntik kemeriahan PRK kali ini.

Calon-calon Bebas kecuali Mohd. Isa, tidak akan membawa pengaruh besar terhadap keputusan PRK Sabtu ini. Pemain utama masih lagi Anwar, Mohd. Isa dan Mohd. Nazari. Yang lain-lain sekadar watak sampingan PRK dan dijangka kehilangan wang deposit mereka.