Jika ada gred A+, memang layak diberi kepada parti pimpinan Lim Kit Siang itu. Bertanding di 102 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka menang 99. Hampir kejayaan 100 peratus.

Bagi peringkat Parlimen, DAP mencatat kejayaan 89 peratus dengan memenangi 42 daripada 47 kerusi yang ditandingi. Kalau kira kerusi yang ditandingi di Semenanjung, DAP hanya kalah di dua tempat iaitu Ayer Hitam dan satu lagi Cameron Highlands.

Takdir Allah, berlaku pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan ini peluang terhidang buat DAP meningkatkan jumlah kerusi mereka di Dewan Rakyat sekaligus menjadikan rekod kejayaan mereka semakin sukar dipintas.

Maka, Sabtu jadi penentu. Pengundi Cameron Highlands boleh memilih sama ada mahu DAP terus menambahkan kerusi atau mengekalkan Barisan Nasional (BN) yang kini di blok pembangkang.

Dalam demokrasi, pembangkang yang kuat adalah penting dan ini memerlukan angka di Dewan Rakyat. Hal ini juga pernah dilaungkan pemimpin DAP pada kempen-kempen PRK suatu masa dahulu terutama jika sesuatu PRU itu dimenangi BN dengan selesa.

Namun DAP hari ini seperti juga BN dahulu menjaja pentingnya pengundi Cameron Highlands memilih seorang wakil yang sealiran dengan Kerajaan Pusat agar melicinkan perancangan pembangunan di kawasan itu.

Skrip sama diulangi, cuma pelakon saja menggalas watak lain. Itu sudah lumrah dalam politik. Itu sebab ramai juga rakyat yang mempunyai pandangan stereotaip terhadap ahli politik iaitu ‘sama saja siapa yang naik’.

Esok hari terakhir kempen, cuaca dingin di pusat peranginan itu tidak mampu menyejukkan bahang PRK Cameron Highlands yang dianggap medan ujian sebenar sama ada buat Pakatan Harapan (PH) mahupun BN berbanding beberapa PRK sebelum ini yang sudah boleh dijangka.

Apa pun keputusan, apakah PRK Cameron Highlands boleh dianggap satu referendum? Andai BN menang ia tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan atau jika kejayaan di pihak DAP, ia bukti sokongan kepada kerajaan PH?

Atau sekadar satu PRK yang perlu diadakan mengikut undang-undang kerana akhirnya orang politik itu kan sama sahaja siapa yang naik pun? - UTUSAN ONLINE