Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menerajui Kementerian Kewangan melancarkan slogan tersebut hari ini. Beliau juga mengingatkan pengundi supaya memilih calon yang boleh membawa pembangunan di Cameron Highlands.

Memetik tajuk berita sebuah akhbar, “Nak pembangunan, undilah PH - Guan Eng”. Ringkas dan mudah faham selain penggunaan ayat berlapik seperti ‘keperluan memilih calon yang sealiran dengan kerajaan Pusat’.

Andai masa diundur sebelum 9 Mei 2018, ayat seperti itulah sering digunakan pemimpin Barisan Nasional (BN) tetapi menimbulkan rasa kurang senang pembangkang dan pertubuhan yang promereka kerana didakwa berunsur rasuah.

Kali ini setelah berkuasa, janji-janji seperti itu turut ditabur mereka. Dejavu sama seperti pengagihan tunai kepada sekumpulan sukarelawan yang dijelaskan sebagai duit minyak.

Akta Kesalahan Pilihan Raya mengawal perlakuan ketika kempen, tetapi sejauh mana mampu mengawalnya walaupun Cameron Highlands sendiri dikosongkan berikutan keputusan mahkamah akibat berlakunya perlakuan sogokan.

Justeru, ketepikan dulu akta dan lihat sejauh mana janji PH untuk membawa lebih banyak pembangunan di Parlimen Cameron Highlands yang termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai mampu menambat pengundi.

Setelah ramai kecewa dengan sebahagian manifesto PH pada pilihan raya umum lalu yang hanya indah di atas kertas, apakah kali ini pengundi akan tertawan dengan satu lagi janji manis?

Apatah lagi buat warga Felda di DUN Jelai yang mana satu daripada 10 janji 100 hari PH adalah berkaitan menghapuskan hutang peneroka. Terpesona lagikah mereka pada janji pilihan raya?

Malam ini pemimpin besar PH berceramah lagi di Jelai, kali ini diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum penduduk DUN itu dijangka menerima kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak esok. Bekas Perdana Menteri itu memang dekat dengan peneroka yang merasai banyak nikmat di bawah pemerintahannya.

Namun kerajaan sudah bertukar tangan, apakah kepemimpinan kerajaan PH akan diberi harapan untuk atasi masalah peneroka atau jasa yang dulu terus dikenang?- UTUSAN ONLINE