Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, beliau sendiri sudah bangkitkan perkara ini lama dahulu walaupun pemimpinnya cuba berselindung di sebalik gelaran parti pelbagai kaum.

“Jika mahu bertanding pun mereka seboleh-bolehnya akan bertanding di kerusi yang majoriti Cina.

“Hanya dalam beberapa kawasan yang bukan kawasan majoriti Cina, mereka akan menggunakan calon Melayu untuk memperoleh undi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz turut berpandangan DAP merupakan parti yang paling dominan dalam gabungan pembangkang PKR memandangkan parti tersebut telah dan dijangka terus mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang paling tinggi dalam gabungan tersebut.

Malah, pengumuman bahawa Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai calon menteri turut mengesahkan perkara ini.

“Jelas sekarang ini DAP adalah parti yang paling berkuasa dalam gabungan pembangkang PKR. Ketika parti lain masih mendiamkan diri soal calon menteri, mereka lebih terkehadapan,” ujarnya.

Melalui sebuah kenyataan di laman Twitter, Zaid melabel DAP sebagai ‘parti Cina’ ketika mengulas tentang pengumuman Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bahawa DAP sudah mempunyai dua orang calon menteri untuk kabinet bayangan gabungan pembangkang PKR.

“Sebuah parti Cina dalam pakatan itu telah mengumumkan mereka mempunyai dua orang calon Menteri. Mungkin akan menyusul lagi. Parti Melayu masih senyap tentang perkara ini. Begitulah sikap orang Melayu secara umumnya, malu dan tidak mahu menyatakan pandangan. Tiada yang berubah,” katanya dalam sebuah kenyataan di laman Twitter miliknya.- UTUSAN ONLINE