Abdul Rahim Tamby Chik

Penasihat Mubarak Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, usaha itu selaras dengan inisiatif kerajaan yang menggerakkan Parlimen belia di peringkat Persekutuan dengan objektif yang sama.

“Mubarak akan membimbing mereka yang terpilih dengan me­nyalurkan fakta sahih berhubung isu-isu semasa supaya mereka dapat berdebat secara sihat.

“DUN Mahasiswa ini juga bakal menjadi forum popular bagi golongan belia menyampaikan pendapat dan cadangan untuk kebaikan kerajaan sedia ada serta negara,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Mubarak Melaka kali Ke-16 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker DUN, Datuk Othman Muhamad; Naib Presiden Mubarak, Tan Sri Osman Aroff dan Yang Dipertua Mubarak Melaka, Datuk Nazari Adzim.

Sementara itu, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka keenam memberitahu, terdapat beberapat kriteria yang perlu ada dalam diri mahasiswa sebelum dipilih menganggotai persidangan tersebut seperti mereka merupakan pelajar universiti yang ada di Melaka.

“Ciri kepemimpinan adalah perkara wajib yang harus ada pada calon-calon.

“Menerusi persidangan itu nanti, pemimpin muda akan dilatih untuk menangani isu semasa, terutama membincangkan masalah yang berbangkit menggunakan fakta, bukan sekadar berdebat di laman sosial tanpa menggunakan fakta yang sahih,” katanya.