Medan untuk kebangkitan UMNO
Apli Yusoff

Ketua UMNO bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff menegaskan keadaan yang makin mencabar menuntut kepada perubahan, dan perhimpunan pada penghujung bulan ini perlu memperlihatkan seluruh pendukungnya serius untuk melakukannya.

“Di sinilah, kita harus berani menegur pemimpin, dan kemukakan cadangan dengan tidak membiarkan sahaja mereka menentukan segalanya untuk dipersalahkan kemudiannya, agar dapat bergerak bersama dengan lebih yakin dan sepadu.

“Pengaliran keluar kalangan pemimpin untuk mencari tapak baharu dalam parti lain, tak usah dipersoalkan kerana itu pilihan mereka atas apa sahaja alasan yang baharu sahaja kedengaran.

“Sekurang-kurangnya kalangan pemimpin UMNO yang terus tinggal adalah cukup setia untuk mengemudikan UMNO bersama kalangan pemimpin pelapis untuk membawa hala tuju yang dapat menyakinkan semula rakyat,”ujarnya kepada Utusan Online hari ini.

Katanya, UMNO tidak akan ketandusan pemimpin berwibawa, cuma mereka masih dibayangi kalangan pemimpin lama, dan inilah masanya untuk mereka berperanan dengan lebih berkesan.

“Ketika dicanangkan ramai lagi pemimpin akan meninggalkan parti dan digambarkan sebagai bibit kehancuran, kalangan penyokong UMNO dan kalangan rakyat umumnya semakin yakin.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini sahaja rakyat sudah dapat membuat perbandingan apabila tidak nampak usaha yang melegakan mereka sebagaimana yang dijanjikan selain keadaan resah dan membimbangkan dengan nasib bangsa, agama dan negara.

“UMNO masih parti terbesar dan terkuat, parti tidak tersasar, cuma mungkin kalangan pendokongnya, justeru inilah masanya untuk benar-benar berubah,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE