Presidennya, Jufitri Joha berkata, Waytha Moorthy jelas gagal melaksanakan tanggungjawab bagi menangani isu perpaduan dalam kalangan masyarakat terutama selepas insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November lalu.

“MBM berasa amat kecewa dengan tindakan Waytha Moorty yang langsung tidak mengambarkan imej seorang menteri yang memegang portfolio perpaduan.

“Beliau sepatutnya bertanggungjawab memelihara, mengekal dan meningkatkan perhubungan kaum ke arah perpaduan nasional serta mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyatupadukan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MBM di sini hari ini.

Tambah Jufitri, sekiranya Waytha Moorthy masih enggan menyambut desakan tersebut, MBM akan mengadakan satu usaha yang lebih bersepadu memastikannya meletak jawatan.

“Kami akan hantar kenyataan desakan ini ke Pejabat Perdana Menteri supaya Perdana Menteri boleh mengambil tindakan serta merta.

“Namun jika boleh kami meminta Waytha Moorthy sendiri secara terhormat untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Sementara itu juga, beliau menggesa satu pengadilan dan pembelaan yang sewajarnya dan segera oleh kerajaan dan pihak berkuasa berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim kelmarin. - UTUSAN ONLINE