SLUG : JHR_OSMAN LARIJOHOR BHARU 09 Februari 2019 - Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2019 anjuran Yayasan Sejahtera Kulai di sini hari ini . GAMBAR : NUR AISYAH MAZALAN / PEMBERITA : NURUL HUDA HASSAN (UTUSAN/AM)

Pertemuan itu menjadi tumpuan susulan khabar angin bahawa kedudukan Osman sebagai Menteri Besar bakal digantikan.

Menurut sumber, Osman memasuki bangunan pada pukul 3 petang ini dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard dan pulang pada pukul 6.50 petang.

Pengamal-pengamal media yang menunggu di pintu masuk Pejabat Perdana Menteri sejak pukul 3.30 petang bagaimanapun gagal merakam kenderaan Osman, dipercayai kerana beliau menggunakan pintu masuk khas.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman mengesahkan Osman akan ke Kuala Lumpur hari ini, namun menolak khabar angin bahawa kedudukannya itu akan digantikan.

Abdul Hakim dilaporkan berkata, Osman dijadual menghadiri mesyuarat bersempena pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9, pada Selasa susulan adanya pertanyaan daripada pihak pengamal media berhubung pergerakan Menteri Besar Johor.

Dilaporkan kiriman WhatsApp yang tular menyatakan pada masa yang sama, Osman akan bertemu Perdana Menteri susulan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor akan ditukarkan. - UTUSAN ONLINE