Mazlan memberitahu, mereka saling memahami peranan masing-masing dalam menguruskan hal berkaitan parti serta pentadbiran negeri Johor.

Katanya, beliau bersama-sama Sahruddin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan secara tidak formal membincangkan soal parti melibatkan pengurusan, keahlian dan hala tuju pada masa akan datang.

“Kita tidak ada masalah dan saling memahami peranan masing-masing. Saya menguruskan hal parti dan Menteri Besar memberi tumpuan kepada urusan kerajaan negeri,” katanya ditemui dalam majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya anjuran Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini hari ini.

Isnin lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Mazlan selaku Pengerusi Bersatu Johor yang baharu berbincang dengan Menteri Besar untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri.

Katanya, beliau berharap perkembangan dalaman parti berkenaan tidak menjejaskan hubungan dan perpaduan semua pihak.

Mengulas mengenai pesanan Muhyiddin tentang tidak boleh mengeluarkan arahan sesuka hati, Mazlan menjelaskan beliau akur mengenai perkara itu dan akan mengikut saluran yang betul.

“Itu tidak menjadi masalah, malah lantikan barisan yang baharu (Bersatu) turut mendapat pandangan Tan Sri sebelum lantikan dibuat,” katanya - UTUSAN ONLINE