Bait-bait lirik dalam lagu tersebut termasuk ‘lompatlah tinggi-tinggi’ boleh ditujukan terus kepada amalan Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu yang gemar ‘melompat’ kerusi tidak kira menang atau kalah bermula dengan kerusi Parlimen Kepala Batas pada tahun 1982 sehinggalah ke Kota Raja.

Mengulas mengenai perkara ini, Penganalisis sebuah firma penyelidikan politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul beranggapan Mat Sabu merupakan ahli politik yang tidak mempunyai penyokong dan atas dasar itulah beliau bertindak ibarat ‘katak’ yang selalu melompat bertanding dari satu kawasan ke kawasan lain.

Jelas beliau, walaupun terkenal sebagai seorang ahli politik yang ‘bijak’ mencuri perhatian umum menerusi lawak jenaka, namun Mat Sabu dilihat seorang ‘jaguh’ di pentas ceramah semata-mata kerana tidak berani semasa pertarungan dalam pilihan raya umum.

“Saya merasakan Mat Sabu bukan seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri kerana kalau beliau benar-benar yakin sudah tentu berani bertanding di kawasan sendiri di Kedah.

“Beliau sepatutnya menunjukkan contoh kepada ahli gabungan pembangkang PKR bahawa sebagai Presiden PAN, beliau yakin dengan diri sendiri dan mampu menumpaskan sesiapa sahaja yang ditandingi di Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mat Sabu disahkan bertanding di Selangor dan dijangka memilih Parlimen Kota Raja yang kini disandang Dr. Siti Mariah Mahmud sekali gus menjadi kerusi Parlimen kelapan ditandingi sejak 1982.

Sejak mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum Keenam (PRU-6), Mat Sabu telah bertanding di tujuh kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas, Permatang Pauh, Nilam Puri, Kubang Kerian, Kuala Kedah, Kuala Terengganu dan yang terakhir di Pendang pada PRU-13.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, ‘ketua’ gabungan pembangkang PKR iaitu DAP juga dengan rela hati menyerahkan kerusi Parlimen Kota Raja kepada Mohamad Sabu kerana kerusi tersebut bukanlah deposit tetap pembangkang.

“Kerusi Parlimen Kota Raja adalah kerusi dengan majoriti campuran dan mempunyai peluang 50-50 sahaja untuk gabungan pembangkang PKR menang dan kawasan itu juga merupakan kerusi kurang penting kepada DAP.

“Jadi, DAP lebih selesa meletakkan Mat Sabu di situ berbanding calonnya ataupun membenarkan Mat Sabu bertanding di kawasan lain yang dilihat penting kepada DAP seperti Parlimen Damansara, Segambut atau Seputeh,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE